Tuesday, June 8, 2010

GAHARU SABAH

Pokok gaharu di Sabah dikenali sebagai Tindet atau Tantali atau Talas oleh Suku Dusun di Negeri Sabah. Perkataan Tindet untuk pokok gaharu popular digunakan oleh Suku Dusun di Daerah Tuaran termasuk Tamparuli dan daerah-daerah lain di Sabah, manakala perkataan Tantali banyak digunakan oleh suku-suku Dusun yang tinggal di sekitar hilir Sungai Liwago atau Labuk. Namun begitu, penggunaan perkataan Talas yang merujuk kepada pokok gaharu banyak digunakan oleh suku-suku Dusun yang terdapat di Kota Marudu, Ranau, Telupid dan daerah-daerah lain.

Pada masa dahulu, orang-orang Dusun menggunakan kulit pokok gaharu sebagai alas simpanan padi di sulap-sulap mereka. Mereka juga menggunakan kulit pokok gaharu sebagai tegiwis sementara untuk basung, wakid, barait dan bermacam-macam lagi kegunaan lain. Ini merupakan kegunaan-kegunaan kulit pokok gaharu yang biasanya diamalkan oleh orang-orang Dusun di Sabah. Namun begitu, amat sedikit daripada mereka yang mengetahui kegunaan lugu/ teras pokok gaharu. Hanya segelintir daripada mereka mengetahui bahawa lugu gaharu boleh dijual dan mempunyai nilai yang tinggi.

Menurut cerita orang tua-tua di Kg. Nunuk Ragang, Ranau bahawa terdapat dikalangan mereka telah berkemahiran mendapatkan lugu gaharu pada sekitar tahun 50an di kampung mereka dan lugu-lugu yang mereka perolehi akan dibeli dengan harga yang murah oleh pembeli-pembeli berbangsa Cina. Dikatakan mereka hanya menebang pokok yang besar-besar sahaja iaitu lebih daripada satu pemeluk orang dewasa dan ini telah menjadi peraturan mereka.

Hanya pada akhir tahun 90an, gaharu telah mula popular dikalangan orang-orang Dusun setelah semakin ramai pencari-pencari gaharu(gaharu hunter) dari suku-suku Orang Asli dari Semenanjung Malaysia datang ke kampung-kampung mereka. Pencari-pencari gaharu tersebut juga ada yang berasal daripada Negara Thailand, Kemboja, Taiwan dan sebagainya. Namun begitu, kebanjiran gaharu hunter daripada Kalimantan iaitu suku-suku Lun Dayeh , Murut dan suku-suku lain dari Kalimantan atau Indonesia telah menyemarakkan lagi aktiviti mencari gaharu di hutan-hutan simpan di Negeri Sabah. Selepas itu, barulah orang-orang Dusun tertarik untuk turut serta mencari gaharu di hutan selepas menyedari bahawa teras gaharu adalah bernilai tinggi tetapi malangnya mereka terpaksa bersaing dengan gaharu hunter dari negara asing.

Perburuan gaharu ini telah menyebabkan kepupusan genetik-genetik gaharu yang baik di Negeri ini. Tambahan pula, terdapat dikalangan pencari gaharu yang tidak berpengalaman dan tidak bertanggungjawab telah turut memusnahkan banyak pokok gaharu di negeri ini. Mungkin pihak berkuasa hutan perlu lebih aktif membanteras aktiviti-aktiviti menceroboh hutan simpan di negeri ini.

Sekian untuk kali ini.......


No comments:

Post a Comment