Tuesday, June 8, 2010

SEDIKIT SEJARAH PENCIPTAAN UBAT SUNTIKAN GAHARU

Antara teknologi vaksin/ ubat suntikan gaharu terawal yang dicipta dan dipatentkan dan sudah terbukti keberkesanannya pada segelintir pokok gaharu adalah teknologi yang dibangunkan oleh University of Minnesota dan TRP foundation yang dipatenkan di Amerika Syarikat. Menurut maklumat perhubungan kos untuk inokulasi pokok adalah US$50 sepokok (mungkin juga lebih murah) bersamaan RM175 (dalam Awang Ahmad, 2010). Juga dalam Awang Ahmad (2010), mengemukakan bahawa dalam patent US tersebut, dinyatakan gaharu terbentuk apabila ada lukaan dibuat dan lukaan tersebut sentiasa terbuka (cedera) agar pokok gaharu akan menghasilkan resin. Penggunaan paip sebagai penyalur udara sudah dipatentkan. Kaedah ini dipercayai hanya menggunakan mikrob jenis kulat/fungus/jamur (mikrob dikelaskan kepada kulat, bakteria, virus dan sebagainya) yang menghasilkan spora yang dikembangbiakkan yang mungkin dikenali sebagai fusarium spp. untuk merosakkan sel-sel pokok gaharu.

Kejayaan teknologi tersebut merosakkan sel-sel pokok gaharu yang seterusnya berjaya merangsang segelintir pokok gaharu menghasilkan cecair bermutu (bergantung kepada genetik pokok) untuk usaha pokok mengatasi kerosakan tersebut telah sedikit sebanyak merangsang inovasi-inovasi dalam penciptaan vaksin gaharu. Selepas itu, banyak ciptaan-ciptaan yang cuba memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kaedah-kaedah tersebut atau mengelak daripada meniru penggunaan paip yang telah dipatenkan tersebut oleh pencipta komersial dan peniaga-peniaga vaksin gaharu. Maka terciptalah vaksin jenis gel, tablet, dan sebagainya yang berbentuk serbuk atau pepejal sama ada bersifat lembut atau keras yang masih menggunakan atau mengandungi mikrob sebagai bahan asas utama vaksin-vaksin tersebut untuk merosakkan sel-sel pokok gaharu.

Penemuan-penemuan ini telah merangsang perlumbaan untuk mencari pelbagai mikrob-mikrob yang lebih cepat merosakkan pokok gaharu dengan harapan agar pembentukan gaharu lebih cepat dan bermutu. Oleh itu, timbul andaian iaitu antaranya bahawa semakin cepat mikrob merosakkan pokok gaharu maka semakin cepat gaharu terbentuk dan lebih bermutu berbanding tindakan mikrob yang ditemui sebelumnya. Namun andaian tersebut hanya dikatakan betul bagi segelintir pokok gaharu tetapi tidak bagi semua pokok gaharu iaitu masih dipengaruhi oleh genetik dan persekitaran.

Namun begitu, sasaran vaksin tersebut dikatakan terhad iaitu hanya disekitar tempat yang dilukakan yang biasanya dilubangkan menggunakan bor/drill yang menghasilkan gaharu. Oleh itu, dikatakan kejayaan teknologi ini adalah bergantung kepada jumlah lubang atau kerosakan pada pokok gaharu iaitu semakin banyak lubang maka semakin banyak hasil resin yang diperolehi. Namun begitu, semakin banyak lubang maka dikatakan kualiti resin yang terhasil semakin kurang berbanding jika semakin kurang lubang maka semakin berkualiti resin yang terhasil pada lubang yang dibuat berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan bagi pembentukan gred-gred gaharu pada pokok-pokok percubaan tersebut. Jumlah lubang yang banyak tersebut juga menjadi faktor penolak penggunaan kaedah tersebut.

Kewujudan masalah tersebut dan berbagai-bagai lagi masalah telah mendorong penciptaan vaksin lain atau memperbaiki kelemahan vaksin tersebut atau menambah kandungan vaksin tersebut untuk mengatasi masalah tersebut dan berbagai-bagai lagi masalah atau memperluaskan lagi sasaran pada pokok gaharu bagi menghasilkan gaharu dan sebagainya. Oleh itu, terciptalah vaksin jenis cecair untuk cuba mengatasi sebahagian masalah-masalah tersebut.

1 comment: